FILEM adalah seni yang diperkenalkan oleh Barat sejak 1895 oleh Lumiere. Malah Barat yang mempopularkan seni filem hingga lahirnya Hollywood yang muncul sebagai agen pembudayaan di seluruh dunia.
Sebagai medium budaya popular yang paling berpengaruh pada abad ini, Barat menggunakan filem untuk membudayakan manusia di seluruh dunia dengan budaya mereka.
Barat mempunyai definisi seninya sendiri yang antara lain menjadikan paparan seks sebagai salah satu elemen dalam filem. Seks bagi karyawan Barat adalah sebahagian daripada seni. Mereka menggunakan lesen seni untuk mewajarkan segala perlakuan seks di filem sebagai satu yang suci.
Tetapi apabila filem berada di tangan pengarah tempatan yang beragama Islam dan berbangsa Melayu, sudah semestinya definisi seni ditafsir semula mengikut acuan agama dan budaya. Biarlah Barat menjadikan adegan seks sebagai seni, tetapi karyawan tempatan perlu ada pegangan bersandarkan agama dan budayanya.
Tetapi sangat malang apabila banyak pengarah tempatan mahu menghasilkan filem daripada definisi seni Barat. Mereka cuba mewajarkan adegan seks sebagai satu keperluan sekalipun secara terang-terang melanggar tata susila budaya dan juga agama.
Karyawan filem Barat memegang prinsip niat menghalalkan cara. Prinsip itu jugalah yang dijunjung oleh sesetengah pengarah tempatan apabila mewajarkan adegan seks dalam filem untuk tujuan "memberi mesej berguna".
Seni memanglah bersifat sejagat, difahami oleh semua orang dan merentasi perbezaan bahasa, budaya dan latar geografi. Tetapi definisi seni di Barat tidak sesuai sama sekali dengan latar budaya dan agama di negara ini.
Baru-baru ini dilaporkan pengarah filem Laga, Ismail Yaacob mempertahankan adegan ranjang Wan Hanafi Su dan Marsha Londoh sebagai suatu yang sangat penting bagi filem itu.
Malah menurut Ismail, pada mulanya pihak Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) hendak memotong adegan yang erotik itu tetapi selepas "diterangkan" peri pentingnya, adegan itu diluluskan untuk tontonan.
Kalau benarlah seperti yang dilaporkan, Ismail tidak ada bezanya dengan banyak pengarah Barat yang menjadikan adegan seks sebagai keperluan melampaui larangan dari segi adab sosial, budaya malah agama.
Filem sejenis seni yang menyampaikan naratif menerusi visual atau paparan yang boleh dilihat. Malah untuk menyampaikan naratif juga visual boleh dipelbagaikan misalnya untuk menggambarkan berlaku adegan seks tanpa tanpa paparan tersurat sebaliknya tersirat menerusi perlambangan.
Bagaimanapun banyak pengarah tempatan menganggap penonton golongan yang dungu, sebab itulah mereka memaparkan adegan seks untuk menyampaikan naratif mengenai seks. Tanggapan ini salah sama sekali malah banyak penonton bukan sahaja lebih cerdik malah lebih bermoral berbanding sesetengah pengarah filem.
Ismail harus ingat, walaupun filem itu dibanggakan sebagai memartabatkan budaya, apalah gunanya semua itu kalau hanya hasrat sahaja memartabatkan budaya tetapi pada masa yang sama mencemar agama.
Kita tentunya masih menaruh harapan bahawa laporan tentang adegan seks itu tidak benar sama sekali. Malah kita menaruh harapan supaya pengarah seperti Ismail tidak tergamak melakukan adegan yang mencemar agama hanya kerana prinsip kesempurnaan seninya.
Sebenarnya perbuatan khianat kepada bangsa dan agama dengan menyelitkan adegan seks (lakonan pelakon Melayu - Islam) bukan perkara baharu dalam industri filem kita. Sudah banyak filem melakukannya dengan alasan yang sama; adegan seks penting untuk menyampaikan cerita.
Lihat sahaja filem Anak Halal arahan Osman Ali, Mencari Cinta (Shirin Khuzaimi), Ombak Rindu (Osman Ali), Budak Kelantan (Wan Azli), Mentera dan Anu Dalam Botol pula memaparkan adegan lelaki bogel.
Semua adegan yang melanggar tata susila budaya dan agama ini dibuat tanpa rasa bersalah kerana bagi pengarah berkenaan keagungan seni melampau segala-galanya waima agama Islam yang menggariskan batas-batas antara yang dibolehkan dan tidak.
Maka wajarlah kita bertanya, besar sangatkah seni filem hingga dibolehkan melanggar batas-batas yang ditetapkan oleh agama? Penting sangatkah adegan seks dalam filem Melayu dan kalau tidak diselitkan akan maka hancur leburlah filem itu?
Kepada Ismail, Osman Ali, Shirin dan beberapa lagi, daya kreativiti anda sebagai pengarah filem tidak pernah dipertikaikan. Tetapi hidup kita dilingkari budaya dan agama. Faktor itu jugalah yang membezakan antara filem yang dihasilkan oleh orang Barat dan filem yang dihasilkan oleh orang Melayu - Islam seperti anda.
Sumber asal DISINI....
No comments:
Post a Comment