Dunia umat Islam pada hari ini terus-menerus dilanda krisis demi krisis sama ada dalam semua segi baik dari aspek politik, ekonomi, pendidikan, sosial kemasyarakatan yang sangat kritikal dan meruncing.
Diriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiyallahu 'anhu berkata: "Aku pernah mendengar Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu. Sahabat bertanya, “ Apakah penyakit-penyakit umat–umat terdahulu itu? Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam menjawab : “Penyakit-penyakit itu adalah terlalu banyak berseronok, terlalu bermewah, menghimpunkan harta sebanyak mungkin, tipu menipu dalam usaha merebut harta benda dunia, saling memarahi, hasut menghasut sehingga menjadi zalim menzalimi antara satu sama lain”. (Hadith riwayat al-Hakim)
Penyakit Umat Islam
Penyakit-penyakit yang disebutkan oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam di dalam hadith tersebut bukanlah satu perkara yang baru kerana telah banyak kita lihat berlaku di kalangan kaum Muslimin pada hari ini. Bahangnya telah mula dirasai sejak zaman dahulu lagi. Ini jelas kita dapati, di sana sini penyakit ini sudah mula merebak dan menjalar dalam masyarakat Islam dengan begitu parah sekali.
Inilah antara kelebihan dan keistimewaan yang dikurniakan Allah kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam yang dapat mengetahui peristiwa yang akan berlaku pada masa akan datang ke atas umatnya. Apabila manusia menolak sistem hidup yang disyariatkan dalam Islam, lantas mengambil dan memilih sistem cara hidup rekaan manusia maka inilah padahnya.
Islam Pada Mulut
Umat Islam pada hari ini tidak ada pilihan lain melainkan dengan hanya kembali mengambil Islam sebagai satu cara hidup yang syamil dan kamil. Ini kerana umat Islam yang ada pada hari ini hanya ada Islam pada nama sahaja.
Mereka mengambil Islam hanya dengan membasahi bibir mengucap dua kalimah syahadah, berzikir, beribadat di atas tikar sejadah di dalam masjid, berpuasa pada bulan Ramadhan dan pergi menunaikan haji sahaja. Bagi mereka sudah memadai Islam yang mereka fahami dengan hanya melakukan ibadat-ibadat tersebut. Di dalam kamus pemikiran mereka tidak ada istilah untuk beribadah kepada Allah setelah melangkah keluar dari masjid, setelah bulan Ramadhan berlalu dan setelah pulang dari mengerjakan ibadah haji.
Harta Dunia
Tidak kurang juga sifat ego manusia pada hari ini mengatasi segala-galanya. Inilah natijahnya apabila menolak apa yang disyariatkan oleh Allah dan berbangga dengan sistem rekaan manusia.
Justeru tidak hairanlah fenomena yang Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam gambarkan kepada kita telah banyak berlaku seperti manusia yang terlalu banyak berseronok, terlalu bermewah-mewahan, berlumba-lumba menghimpunkan harta sebanyak mungkin, tipu menipu dalam usaha merebut harta benda dunia, sikap saling memarahi, umpat-mengumpat, hasut menghasut sudah menjadi amalan sehingga sikap zalim menzalimi antara satu sama lain dan amalan rasuah, pecah amanah sudah menjadi kebiasaan dalam kehidupan mereka
Musuh Islam
Kita perlu berhati-hati dengan musuh-musuh Islam yang tidak jemu-jemu berusaha untuk menghancurkan umat Islam. Sejarah telah merakamkan, mereka sudah lama merancang untuk menghapuskan umat Islam dengan cara mengasingkan Islam dalam kehidupan umat Islam, memisahkan Islam dengan politik, ekonomi, sosial dan sebagainya.
Ia juga berpunca dari salah faham di kalangan orang Islam terhadap Islam sendiri dan meluapnya sentimen politik yang saling bertentangan. Selain itu, rasa tidak puas hati ini mengheret sebilangan kaum yang bertelingkah ke dalam kancah pertikaian dan prasangka yang akhirnya membawa kepada perselisihan pendapat umat Islam.
Bagi kita yang kasih dan sayang kepada Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh mengamalkan apa yang disarankan oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam
No comments:
Post a Comment